Showing posts with label persoalan. Show all posts
Showing posts with label persoalan. Show all posts

Monday, December 27, 2010

Mengapa aku berhenti Merokok?

Mereka mengaut keuntungan atas kesengsaraan si perokok.


Itu tanggapan awal saya setiap kali kerajaan menaikkan duti eksais rokok dengan alasan "rokok membahayakan kesihatan."


Saya tidak pernah membantah tentang bahaya dan puakanya menghisap rokok ini.


Saya setuju malah agama sendiri telah membariskan surah yang melarang kita merosakkan tubuh badan dan membahayakan kesihatan.


Ramainya juga maklum perbahasan ini.


"Janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan," - Surah al-Baqarah, ayat 195


Bagi saya ayat ini terpakai bukan sahaja untuk yang merokok, bahkan jika kita memandu laju di jalan raya dengan mengundang celaka kepada nyawa dan orang di sekeliling kita, ianya juga satu larangan keras dari agama.


Ya, saya bukan nak berhujah tentang surah atau bercerita seperti orang yang pandai agama tetapi nak bercerita tentang natijah dan padahnya pengalaman yang saya lalui selama menjadikan rokok sebagai teman hidup.


Saya berjinak dengan rokok, sewaktu berusia 15 tahun ketika gelodak jiwa dan perasaan dihambur seribu macam masalah yang bertimpa.


Kononnya dengan merokok dapat menyelesaikan atau sekurang-kurangkan mengurang beban di fikiran. Begitulah dangkalnya minda yang belum matang.


Ternyata rokok sebagai teman duka lara tidak banyak membantu, bahkan menambahkan lagi satu masalah baru, iaitu ketagihan.


Dengan harga yang mahal, sebagai pelajar seperti saya, sering mencari akal dan alasan untuk meminjam atau meminta duit daripada sang ayah untuk memenuhi kehendak nafsu itu.


Mereka yang berhenti merokok setelah mendapat serangan jantung memiliki kemungkinan untuk meninggal 10 kali lebih sedikit dibandingkan mereka yang terus merokok.


Itulah sebabnya, kalau pelajar hisap rokok, mereka mesti 'steng' atau kongsi sikit seorang. 


Kadang-kadang sebatang kongsi lima orang.


Ianya sesuatu yang 'luxury' (mewah) dan sering digambarkan sebagai seorang yang mempunyai 'gaya dan keunggulan' dan dipandang hebat di mata ramai.


Itu dari sisi pandang seorang perokok. Bagi yang memandang, pasti menyampah!


Di asrama, aneka helah dicerna untuk memastikan ketagihan itu dapat dilunasi. 


Bayangkanlah, kalau ditangkap kerana menghisap rokok, tak cukup tanah dikerjakan cikgu sekolah.


Oleh itu pelbagai cara digunakan untuk menyembunyikan hanya sebatang rokok.


Antaranya sorok di sisi stoking, sebatang pen yang diubah suai, sesuai dengan saiz batang rokok, siling sekolah, batang-batang besi katil yang mempunyai lubang kecil dan 1001 macam cara untuk menjadi 'penjenayah' tidak bertauliah.


Saya menjadi 'social and regular smoker' pada usia 20an, ketika bertugas sebagai pengemaskini data dan sijil saham di sebuah syarikat saham di ibu kota.


Kerja adakalanya melangkaui, lewat masa dan tamat sehingga subuh hari. 


Mata kadang-kadang terpejam celik.


Justeru, kononnya untuk menahan mata menjadi 'terang', rokok dijadikan ubat penawar.


Seperti biasa, ubat yang disangka penawar hanyalah dongengan semata tetapi menambah bala, apabila mula batuk tak berhenti pula.


Yang disangka teman atau penawar, rupanya racun berbisa, tak bermata.


Tidak mudah berhenti merokok


Itulah sebabnya, saya simpati dengan si perokok dan sebenarnya tidak mudah untuk berhenti rokok.


Kalau sudah terjebak, cukup perit untuk berjuang meninggalkannya.


Saya berusaha berhenti merokok tiga kali sepanjang hidup ini. 


Fasa pertama ketika berusia 22 tahun. Berazam tekad dengan cara berdikit-dikit.


Dari 10 batang sehari, berkurang menjadi tujuh, kemudian tiga, seterusnya sebatang sehari. Akhirnya saya berjaya berhenti selama sebulan.


Terkejut juga badan. Tiga hari saya demam dan menggelisah. 


Macam orang ketagih dadah lagaknya.


Apatah lagi bila tengok kawan-kawan berkepul asap di depan mata.


Ada pula yang tidak menyokong, bahkan memberi rokok percuma berbatang-batang, supaya saya terus bersama seiring sejalan dengan mereka.


Kemudian, saya kembali semula menghisap. 


Kali ini lebih 'advance'. Dua kotak sehari. Satu rokok jenis biasa dan satu rokok jenis kretek.


Lebih parah, ketika saya membuat kerja-kerja buruh, menanam anak benih pokok getah di kaki bukit.


Rakan serta keluarga anda tidak hanya harus menghadapi penyakit akibat merokok yang anda alami, kebiasaan merokok anda juga akan meningkatkan risiko mereka untuk sakit dan meninggal.


Waktu kerja terik di bakar mentari, lebih gian dan kuatlah rokok dicucuh api.


Fasa kedua, saya cuba cara tradisional. 


Ambil kelapa muda, belah dan kemudian tembakau rokok di rendam di dalam air kepala itu. Lepas itu minum.


Cukup teruk rasanya dan cukup dramatiklah gayanya, apabila saya kemudiannya muntah!


Ya, bertahanlah saya selama 30 hari sahaja. Bau dan asap rokok cukup tidak menyenangkan.


Tetapi lama kelamaan, ketagihan itu melebihi daripada perasaan tidak mahu merokok.


Rupanya, bukan cara berhenti yang menjadi pokok pangkalnya, tetapi keazaman yang kuat.


Ada beberapa mitos, yang diceritakan bahawa tembakau rokok ini 'disemah' dan jampi terlebih dahulu.


Ada juga yang kata, yang ianya dibancuh dan disiram dengan arak terlebih dahulu.


Ada juga kata, rumput pertama yang dipijak syaitan, setelah ditendang keluar dari syurga itulah yang dinamakan tembakau.


Macam-macam cerita. Ada hadis dhaif dan palsu. 


Semuanya saya tidak tahu, yang saya tahu, ianya benar-benar membuatkan seseorang ketagih!


Sebenarnya selain Fasa Satu dan Fasa Kedua, telah ada beberapa siri kecil, saya berusaha mengadakan protes kepada rokok ini. 


Kerana pada saya ianya tidak menambah nilai atau memberi sebarang makna.


Cuma yang lebihnya ialah menambah satu penyakit demi penyakit dan menambah wang demi wang untuk menikmati ketagihan.


Malah sumpahan, cacian dan bencinya manusia kepada si perokok juga turut menjulang tinggi. Itu sahajalah yang menambah.


Itu tidak termasuk batuk berdarah, sakit dada, semput, sukar bernafas, pening dan tak bermaya.


Selain itu, menjadi seorang perokok ini bukanlah sesuatu yang membanggakan.


Bayangkan gaya hidup yang tidak sihat dan sanggup berkorban apa saja semata-mata untuk menyedut nikmat asap dan candu.


Saya sanggup bersusah payah keluar rumah jam 3.00 pagi, semata-mata, mencari bekalan rokok. 


Lihat betapa gian dan bahananya menghisap rokok.


Bila perokok menghentikan kebiasaanya, 79 % dari mereka akan bertambah berat badannya, namun pertambahan rata-ratanya hanya 2.3kg, bersenamlah segera!


Tidak cukup dengan itu, kita penting diri sendiri. 


Asap yang berkepul, dihidu insan tak 'berdosa' terutamanya si kecil yang tercungap-cungap, cuba menghirup udara nyaman.


Satu lagi, kalau ketandusan wang, ada masanya, terkial-kialnya mencari puntung-puntung lama, untuk dicucuh api, dan dihisap semula.


Macam orang gila, mengaih sampah. 


Betapa, malunya watak itu, kalau ditonton ramai. Tak percaya, tanyalah kepada yang pernah melalui saat getir itu.


Satu lagi sifat merokok ini, tidak mungkin tidak, ianya ada ciri-ciri seorang 'pengotor.' Tak mungkin tidak, seorang perokok, akan membuang rokoknya di mana sahaja, bumi dipijak dan puntung dijunjung.


Jalan raya, kaki jalan, taman bunga, ladang, bangunan, kubur malah kawasan hospital pun, tidak lepas dengan sikap pengotor ini.


Betapa malunya menjadi sang perokok.


Sudahlah disumpah, dicerca oleh orang ramai kerana mempunyai tabiat yang tidak elok, kemudian dianiaya pula oleh kerajaan, dengan menaikkan cukai dengan tidak semena-mena.


Dengan alasan-alasan seperti ramai perokok yang tegar, masalah kesihatan perokok yang semakin meruncing dan gejala rokok di kalangan pelajar sekolah semakin berleluasa maka kerajaan seperti biasa mencari jalan mudah dan pintas menyelesaikan masalah tersebut dengan menaikkan harga rokok!


Seorang pembaca menimbulkan persoalan sama ada bersungguh dan ikhlas kerajaan dalam memerangi rokok yang telah dibuktikan membahayakan kesihatan ini atau barangkali, kerajaan lebih suka membiarkan gejala ini berleluasa dan berterima kasih dengan ketagihan perokok ini supaya dapat mengaut keuntungan yang banyak.


Pohon kepada Allah


"Memang benar sama ada dinaikkan atau diturunkan harga, fenomena rokok amatlah sukar dibendung secara total, tetapi membiarkan perokok mendapatkan bekalan rokok dengan mudah adalah satu tindakan kerajaan yang perlu dipersoalkan," katanya dalam satu laman surat pembaca dua tahun lalu kepada saya."


"Kerajaan dan umum mengetahui, perokok yang ketagihan akan terus berusaha dengan segala kepayahannya untuk mendapatkan bekalan rokok meskipun harganya terlalu tinggi," tulis pembaca itu.


Saya simpati kepada nasib perokok. Apalagi yang tinggal kepada si perokok kalau ketagihan mereka dipermainkan dan dijadikan umpan?


Tak mengapalah tetapi saya tidak ada cara lain lagi untuk berhenti merokok. 


Sudah cukup banyak ianya menyeksa saya. Wang, masa dan tenaga, dihabiskan untuk sebatang nan durjana ini. Saya tidak ada pilihan lain, melainkan berhenti dengan serta merta!


Macam-macam cara saya guna. 


Dan saya sering teringat kata seorang teman tentang rokok.


Amalan berpuasa dari pandangan islam ialah untuk mengawal nafsu dari melakukan maksiat.. oh yaa! dan juga merokok!


"Setiap hari, walaupun mungkin tidak haram tetapi kau buat kerja yang tidak disukai Allah, pasti sukar mendapat rahmat dari-Nya. 


Pasti, tidak ada kecukupan dan berkah dalam kehidupan," katanya membuatkan saya terkedu seketika.


Tidak ada cara lain, melainkan memohon pertolongan Allah. 


Allah sahaja yang tahu sengsaranya hidup sebagai sang perokok. 


Di luar bergaya, di dalam malapetaka.


Saya mula berdoa dengan melafazkan kata-kata khusus, supaya Allah 'mengkhatamkan' hati saya, untuk tidak merokok lagi.


"Ya Allah. Berhentikanlah tabiat menghisap rokok ini. 


Hanya pada-Mu sahaja yang berkuasa mengubah hati. 


Tutuplah hati dan perasaan ingin merokok ini. 


Aku tidak mahu merana lagi dan tidak mahu melakukan seuatu yang tidak kau redhai," pinta saya sewaktu sujud yang lama.


Bersungguh-sungguh saya pohon. Kerana saya yakin dan pasti, persoalan hati dan semangat yang kuat adalah urusan Allah untuk kabulkan.


Sehinggalah pada suatau malam sekitar akhir tahun 2005, ketika menyala sebatang rokok, mulut saya rasa begitu pahit dan tekak mula menjadi loya menjadikan hati saya terasa begitu mual, benci dan tidak mahu lagi untuk terjebak dengan ketagihan yang memalukan.


Alhamdullilah, doa saya yang tidak putus-putus untuk berhenti merokok, dikabulkan tuhan dan tuhan telah menyelamatkan saya sekali lagi.


Dan, kini sudah hampir empat tahun, hidup saya semakin tenang, fikiran makin matang dan nafas kembali segar dan udara untuk dihirup setiap pagi, di kala subuh terasa cukup nikmat!
Kepada yang berhajat untuk berhenti, sesungguhnya ruang pengampunan dan pertolongan Allah Maha luas, pintalah nescaya diperkenankan.


Kepada yang mahu juga mencuba, cubalah tetapi hadapilah 'azab' yang saya lalui selama 10 tahun menjadi sang perokok.


Kepada yang mahu mencuba, lupakan saja, kerana bimbang-bimbang sukar untuk kembali ke pangkal jalan!


Kepada yang ingin membantu, jangan caci dan hina si perokok tetapi bantu bimbing semangat mereka kerana mereka juga manusia biasa....


Salahkah wanita tak tahu memasak?

Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja.


Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati.


"Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!" Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan sejawat kami.


Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja.


Setelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.


''Habis sekarang kenapa tidak belajar?" 


Tanya sang lelaki lagi dengan penuh semangat.


''Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!" 


Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala.


Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak. Wanita sepatutnya buat begitu juga.


Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam.


Walau ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup.


Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai.


Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya.


Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami.


Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam.


Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih perlu.


Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal.


Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. 


Begitulah standard yang telah ditetapkan.


Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada lelaki juga? 


Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah.


Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga.


"Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?"


 Dengus teman wanita yang lain.


Betul juga ya? 


Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya?


Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.


Ternyata ramai yang menjawab tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal.


Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri.


Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam.


Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami.


Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa 'queen control'.


Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. 


Jika wanita disuruh belajar, apa salahnya lelaki!

Mengapa wanita memerlukan lelaki?

Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.


Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.


Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?


Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.


Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.


Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.


Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.


Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. 


Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. 


Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.


Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.


Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.


Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.


Dia akan datang apabila tiba masanya. 


Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.


Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.


Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.


Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.


Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.


Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.


Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.


Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.


Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.


Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.


Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.


Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.


Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.


Semoga mereka tak tersalah pilih.


Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.


Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. 


Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.


Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.


Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.


Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.


Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.


Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.


Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.


Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik..


InsyaAllah......

Bagaimana bercouple cara Islam?

Islam adalah agama yang syumul. 


Sebuah agama yang lengkap. 


Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin disayangi. 


Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti sedia ada jika manusia akan diperintahkan untuk membunuh fitrahnya itu?


Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. 


Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya.


Rasulullah s.a.w. pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak bernikah.


Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin mengasihi dan dikasihi atau mencintai dan dicintai.


Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. 


Islam telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini.


Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah ketika itu agak menarik ; iaitu "Jodoh".


Masyarakat Sudah Lari


Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan bahawa cara masyarakat sekarang mengendalikan perihal jodoh telah lari daripada syariat yang sepatutnya.


"Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk meminang."


Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan empunya diri dan terus menyatakan hasrat hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji, bersumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan hubungan mereka itu. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, mak dan ayah tidak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan," terang beliau.


Konsep Meminang


Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. 


Kata beliau, "Ibu bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. 


Oleh itu, dengan menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali keluarga dan calon menantu mereka dengan lebih jelas.


Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. 


Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah haram perempaun itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda.


Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. 


Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan," jelas beliau lagi.


Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri. 


Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta.


Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. 


Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.


Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.


Perigi Cari Timba


Ada pula yang berkata, "Cara ini untuk lelaki bolehlah."Untuk perempuan, tak sesuai. 


Nanti orang kata, 'macam perigi mencari timba', 'wanita tidak bermaruah' dan macam-macam lagi." Sabar dahulu saudari.


Sebenarnya ini merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu kita. 


Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimanakah Islam mengajar wanita yang berkeinginan bernikah untuk menyuarakan keinginanya? 


Mari kita kaji sirah.


Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. dan Siti Khadijah r.a. dimulakan dengan Siti Khadijah menzahirkan keinginannya? 


Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w., beliau merasakan yang dia tidak akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya melainkan Baginda. 


Oleh itu Siti Khadijah menyuarakan keinginannya kepada pakciknya, Abbas, agar merisik Muhammad s.a.w. Sesudah pihak Baginda bersetuju, barulah keluarga Nabi menghantar rombongan meminang. Begitulah yang diajarkan dalam sirah.


Jadi, tiada salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia, menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk mengikuti sunnah baginda Rasulullah s.a.w.?


Cuma biarlah caranya sesuai dengan cara masyarakat kita. 


Jika seorang wanita itu telah mempunyai calon suami yang baik dan soleh, suarakan-lah kepada ibu bapa supaya mereka dapat menghubungi pihak keluarga lelaki tersebut. 


Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma mencadangkan. 


Kalau kedua-dua pihak setuju, alhamdulillah. 


Maka pihak lelaki boleh masuk meminang.


Indahnya Cara Islam


Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. 


Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. 


Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh semua manusia kerana itulah fitrah insani. 


Insya-Allah jika segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...