Monday, December 27, 2010

Mengapa aku berhenti Merokok?

Mereka mengaut keuntungan atas kesengsaraan si perokok.


Itu tanggapan awal saya setiap kali kerajaan menaikkan duti eksais rokok dengan alasan "rokok membahayakan kesihatan."


Saya tidak pernah membantah tentang bahaya dan puakanya menghisap rokok ini.


Saya setuju malah agama sendiri telah membariskan surah yang melarang kita merosakkan tubuh badan dan membahayakan kesihatan.


Ramainya juga maklum perbahasan ini.


"Janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan," - Surah al-Baqarah, ayat 195


Bagi saya ayat ini terpakai bukan sahaja untuk yang merokok, bahkan jika kita memandu laju di jalan raya dengan mengundang celaka kepada nyawa dan orang di sekeliling kita, ianya juga satu larangan keras dari agama.


Ya, saya bukan nak berhujah tentang surah atau bercerita seperti orang yang pandai agama tetapi nak bercerita tentang natijah dan padahnya pengalaman yang saya lalui selama menjadikan rokok sebagai teman hidup.


Saya berjinak dengan rokok, sewaktu berusia 15 tahun ketika gelodak jiwa dan perasaan dihambur seribu macam masalah yang bertimpa.


Kononnya dengan merokok dapat menyelesaikan atau sekurang-kurangkan mengurang beban di fikiran. Begitulah dangkalnya minda yang belum matang.


Ternyata rokok sebagai teman duka lara tidak banyak membantu, bahkan menambahkan lagi satu masalah baru, iaitu ketagihan.


Dengan harga yang mahal, sebagai pelajar seperti saya, sering mencari akal dan alasan untuk meminjam atau meminta duit daripada sang ayah untuk memenuhi kehendak nafsu itu.


Mereka yang berhenti merokok setelah mendapat serangan jantung memiliki kemungkinan untuk meninggal 10 kali lebih sedikit dibandingkan mereka yang terus merokok.


Itulah sebabnya, kalau pelajar hisap rokok, mereka mesti 'steng' atau kongsi sikit seorang. 


Kadang-kadang sebatang kongsi lima orang.


Ianya sesuatu yang 'luxury' (mewah) dan sering digambarkan sebagai seorang yang mempunyai 'gaya dan keunggulan' dan dipandang hebat di mata ramai.


Itu dari sisi pandang seorang perokok. Bagi yang memandang, pasti menyampah!


Di asrama, aneka helah dicerna untuk memastikan ketagihan itu dapat dilunasi. 


Bayangkanlah, kalau ditangkap kerana menghisap rokok, tak cukup tanah dikerjakan cikgu sekolah.


Oleh itu pelbagai cara digunakan untuk menyembunyikan hanya sebatang rokok.


Antaranya sorok di sisi stoking, sebatang pen yang diubah suai, sesuai dengan saiz batang rokok, siling sekolah, batang-batang besi katil yang mempunyai lubang kecil dan 1001 macam cara untuk menjadi 'penjenayah' tidak bertauliah.


Saya menjadi 'social and regular smoker' pada usia 20an, ketika bertugas sebagai pengemaskini data dan sijil saham di sebuah syarikat saham di ibu kota.


Kerja adakalanya melangkaui, lewat masa dan tamat sehingga subuh hari. 


Mata kadang-kadang terpejam celik.


Justeru, kononnya untuk menahan mata menjadi 'terang', rokok dijadikan ubat penawar.


Seperti biasa, ubat yang disangka penawar hanyalah dongengan semata tetapi menambah bala, apabila mula batuk tak berhenti pula.


Yang disangka teman atau penawar, rupanya racun berbisa, tak bermata.


Tidak mudah berhenti merokok


Itulah sebabnya, saya simpati dengan si perokok dan sebenarnya tidak mudah untuk berhenti rokok.


Kalau sudah terjebak, cukup perit untuk berjuang meninggalkannya.


Saya berusaha berhenti merokok tiga kali sepanjang hidup ini. 


Fasa pertama ketika berusia 22 tahun. Berazam tekad dengan cara berdikit-dikit.


Dari 10 batang sehari, berkurang menjadi tujuh, kemudian tiga, seterusnya sebatang sehari. Akhirnya saya berjaya berhenti selama sebulan.


Terkejut juga badan. Tiga hari saya demam dan menggelisah. 


Macam orang ketagih dadah lagaknya.


Apatah lagi bila tengok kawan-kawan berkepul asap di depan mata.


Ada pula yang tidak menyokong, bahkan memberi rokok percuma berbatang-batang, supaya saya terus bersama seiring sejalan dengan mereka.


Kemudian, saya kembali semula menghisap. 


Kali ini lebih 'advance'. Dua kotak sehari. Satu rokok jenis biasa dan satu rokok jenis kretek.


Lebih parah, ketika saya membuat kerja-kerja buruh, menanam anak benih pokok getah di kaki bukit.


Rakan serta keluarga anda tidak hanya harus menghadapi penyakit akibat merokok yang anda alami, kebiasaan merokok anda juga akan meningkatkan risiko mereka untuk sakit dan meninggal.


Waktu kerja terik di bakar mentari, lebih gian dan kuatlah rokok dicucuh api.


Fasa kedua, saya cuba cara tradisional. 


Ambil kelapa muda, belah dan kemudian tembakau rokok di rendam di dalam air kepala itu. Lepas itu minum.


Cukup teruk rasanya dan cukup dramatiklah gayanya, apabila saya kemudiannya muntah!


Ya, bertahanlah saya selama 30 hari sahaja. Bau dan asap rokok cukup tidak menyenangkan.


Tetapi lama kelamaan, ketagihan itu melebihi daripada perasaan tidak mahu merokok.


Rupanya, bukan cara berhenti yang menjadi pokok pangkalnya, tetapi keazaman yang kuat.


Ada beberapa mitos, yang diceritakan bahawa tembakau rokok ini 'disemah' dan jampi terlebih dahulu.


Ada juga yang kata, yang ianya dibancuh dan disiram dengan arak terlebih dahulu.


Ada juga kata, rumput pertama yang dipijak syaitan, setelah ditendang keluar dari syurga itulah yang dinamakan tembakau.


Macam-macam cerita. Ada hadis dhaif dan palsu. 


Semuanya saya tidak tahu, yang saya tahu, ianya benar-benar membuatkan seseorang ketagih!


Sebenarnya selain Fasa Satu dan Fasa Kedua, telah ada beberapa siri kecil, saya berusaha mengadakan protes kepada rokok ini. 


Kerana pada saya ianya tidak menambah nilai atau memberi sebarang makna.


Cuma yang lebihnya ialah menambah satu penyakit demi penyakit dan menambah wang demi wang untuk menikmati ketagihan.


Malah sumpahan, cacian dan bencinya manusia kepada si perokok juga turut menjulang tinggi. Itu sahajalah yang menambah.


Itu tidak termasuk batuk berdarah, sakit dada, semput, sukar bernafas, pening dan tak bermaya.


Selain itu, menjadi seorang perokok ini bukanlah sesuatu yang membanggakan.


Bayangkan gaya hidup yang tidak sihat dan sanggup berkorban apa saja semata-mata untuk menyedut nikmat asap dan candu.


Saya sanggup bersusah payah keluar rumah jam 3.00 pagi, semata-mata, mencari bekalan rokok. 


Lihat betapa gian dan bahananya menghisap rokok.


Bila perokok menghentikan kebiasaanya, 79 % dari mereka akan bertambah berat badannya, namun pertambahan rata-ratanya hanya 2.3kg, bersenamlah segera!


Tidak cukup dengan itu, kita penting diri sendiri. 


Asap yang berkepul, dihidu insan tak 'berdosa' terutamanya si kecil yang tercungap-cungap, cuba menghirup udara nyaman.


Satu lagi, kalau ketandusan wang, ada masanya, terkial-kialnya mencari puntung-puntung lama, untuk dicucuh api, dan dihisap semula.


Macam orang gila, mengaih sampah. 


Betapa, malunya watak itu, kalau ditonton ramai. Tak percaya, tanyalah kepada yang pernah melalui saat getir itu.


Satu lagi sifat merokok ini, tidak mungkin tidak, ianya ada ciri-ciri seorang 'pengotor.' Tak mungkin tidak, seorang perokok, akan membuang rokoknya di mana sahaja, bumi dipijak dan puntung dijunjung.


Jalan raya, kaki jalan, taman bunga, ladang, bangunan, kubur malah kawasan hospital pun, tidak lepas dengan sikap pengotor ini.


Betapa malunya menjadi sang perokok.


Sudahlah disumpah, dicerca oleh orang ramai kerana mempunyai tabiat yang tidak elok, kemudian dianiaya pula oleh kerajaan, dengan menaikkan cukai dengan tidak semena-mena.


Dengan alasan-alasan seperti ramai perokok yang tegar, masalah kesihatan perokok yang semakin meruncing dan gejala rokok di kalangan pelajar sekolah semakin berleluasa maka kerajaan seperti biasa mencari jalan mudah dan pintas menyelesaikan masalah tersebut dengan menaikkan harga rokok!


Seorang pembaca menimbulkan persoalan sama ada bersungguh dan ikhlas kerajaan dalam memerangi rokok yang telah dibuktikan membahayakan kesihatan ini atau barangkali, kerajaan lebih suka membiarkan gejala ini berleluasa dan berterima kasih dengan ketagihan perokok ini supaya dapat mengaut keuntungan yang banyak.


Pohon kepada Allah


"Memang benar sama ada dinaikkan atau diturunkan harga, fenomena rokok amatlah sukar dibendung secara total, tetapi membiarkan perokok mendapatkan bekalan rokok dengan mudah adalah satu tindakan kerajaan yang perlu dipersoalkan," katanya dalam satu laman surat pembaca dua tahun lalu kepada saya."


"Kerajaan dan umum mengetahui, perokok yang ketagihan akan terus berusaha dengan segala kepayahannya untuk mendapatkan bekalan rokok meskipun harganya terlalu tinggi," tulis pembaca itu.


Saya simpati kepada nasib perokok. Apalagi yang tinggal kepada si perokok kalau ketagihan mereka dipermainkan dan dijadikan umpan?


Tak mengapalah tetapi saya tidak ada cara lain lagi untuk berhenti merokok. 


Sudah cukup banyak ianya menyeksa saya. Wang, masa dan tenaga, dihabiskan untuk sebatang nan durjana ini. Saya tidak ada pilihan lain, melainkan berhenti dengan serta merta!


Macam-macam cara saya guna. 


Dan saya sering teringat kata seorang teman tentang rokok.


Amalan berpuasa dari pandangan islam ialah untuk mengawal nafsu dari melakukan maksiat.. oh yaa! dan juga merokok!


"Setiap hari, walaupun mungkin tidak haram tetapi kau buat kerja yang tidak disukai Allah, pasti sukar mendapat rahmat dari-Nya. 


Pasti, tidak ada kecukupan dan berkah dalam kehidupan," katanya membuatkan saya terkedu seketika.


Tidak ada cara lain, melainkan memohon pertolongan Allah. 


Allah sahaja yang tahu sengsaranya hidup sebagai sang perokok. 


Di luar bergaya, di dalam malapetaka.


Saya mula berdoa dengan melafazkan kata-kata khusus, supaya Allah 'mengkhatamkan' hati saya, untuk tidak merokok lagi.


"Ya Allah. Berhentikanlah tabiat menghisap rokok ini. 


Hanya pada-Mu sahaja yang berkuasa mengubah hati. 


Tutuplah hati dan perasaan ingin merokok ini. 


Aku tidak mahu merana lagi dan tidak mahu melakukan seuatu yang tidak kau redhai," pinta saya sewaktu sujud yang lama.


Bersungguh-sungguh saya pohon. Kerana saya yakin dan pasti, persoalan hati dan semangat yang kuat adalah urusan Allah untuk kabulkan.


Sehinggalah pada suatau malam sekitar akhir tahun 2005, ketika menyala sebatang rokok, mulut saya rasa begitu pahit dan tekak mula menjadi loya menjadikan hati saya terasa begitu mual, benci dan tidak mahu lagi untuk terjebak dengan ketagihan yang memalukan.


Alhamdullilah, doa saya yang tidak putus-putus untuk berhenti merokok, dikabulkan tuhan dan tuhan telah menyelamatkan saya sekali lagi.


Dan, kini sudah hampir empat tahun, hidup saya semakin tenang, fikiran makin matang dan nafas kembali segar dan udara untuk dihirup setiap pagi, di kala subuh terasa cukup nikmat!
Kepada yang berhajat untuk berhenti, sesungguhnya ruang pengampunan dan pertolongan Allah Maha luas, pintalah nescaya diperkenankan.


Kepada yang mahu juga mencuba, cubalah tetapi hadapilah 'azab' yang saya lalui selama 10 tahun menjadi sang perokok.


Kepada yang mahu mencuba, lupakan saja, kerana bimbang-bimbang sukar untuk kembali ke pangkal jalan!


Kepada yang ingin membantu, jangan caci dan hina si perokok tetapi bantu bimbing semangat mereka kerana mereka juga manusia biasa....


Tidak wajar Shin Chan dijadikan ikon


Jangan terkejut andai tiba-tiba anak anda berumur kurang tujuh tahun melondehkan seluar serta menunjukkan punggungnya sambil menggoyangkannya dan berkata, "Punggung..." Timbul persoalan, dari mana mereka belajar perkara sebegitu?


Ini secara jelas adalah pengaruh yang tidak sihat daripada rancangan kartun kegemaran kebanyakan kanak-kanak termasuk sesetengah ibu bapa sendiri iaitu Sin-Chan.


Sedarkah kita bahawa, bukan semua kartun adalah selamat bagi ditontonkan kepada anak-anak mutakhir ini.


Sebagai contoh rancangan Sin-Chan sendiri yang banyak dengan unsur lucah, siri Sponge Bob yang menjadikan 'Bikini Bottom' sebagai tempat tinggal mereka.


Tidak kurang juga kebanyakan kartun yang menjadikan tema pergaduhan, perbalahan dan membalas dendam sebagai tema dan jalan cerita.


Tidak kurang juga kartun yang mempromosi adegan seksual dan cara berpakaian yang tidak senonoh serta tidak mengatup aurat.


Tanpa menafikan kartun mampu menjadi instrumen pendidikan yang terbaik untuk anak-anak namun dalam masa yang sama ianya juga amat berpengaruh dalam menanamkan budaya dan akhlak yang tidak baik kepada anak-anak.


Lantas, adalah menjadi kesalahan yang besar apabila ibu bapa sendiri yang mendorong anak-anak mereka bagi menonton siri-siri yang ternyata lebih besar kesan negatif berbanding kesan positif.


Namun, dalam masa yang sama kita berterima kasih kepada pihak yang berjaya mencipta watak Upin dan Ipin, watak kartun animasi yang diciptakan oleh warga tempatan.


Kejayaan Upin dan Ipin sebagai produk animasi Malaysia yang berjaya menambat hati kanak-kanak tempatan dan luar negara wajar dipuji dan diangkat menjadi ikon kanak-kanak terkini dengan lebih penambahan unsur didaktik secara langsung mahupun tidak langsung.


Di Indonesia sebagai contoh, ikon Upin dan Ipin digunakan semaksimum mungkin dengan melekatkan dan mengaitkan watak tersebut termasuk pada buku-buku agama.


Ini tidak lain adalah bertujuan bagi menarik dan mendapatkan perhatian anak-anak dan secara tidak langsung terhadap bahan-bahan bacaan agama.


Kesimpulannya adalah pemantauan dan penyaringan terhadap rancangan-rancangan kartun di televisyen perlu dilakukan oleh ibu bapa apabila anak-anak di rumah sementelah pada waktu cuti sekolah sekarang ini.


Dalam masa yang sama pihak televisyen bertanggungjawab menyiarkan hanya rancangan yang berfaedah dan mendidik kepada anak bangsa.

Anggun terpesona Aurat terpelihara

Pernahkah kita terfikir, mengapa Islam mensyariatkan wanita menutup dan menjaga aurat mereka? 


Betapa Islam hadir untuk memartabatkan kaum wanita, tetapi wanita sendiri tidak menyedari hakikat itu.


Jika dibandingkan wanita Islam dengan bukan Islam, wanita Islam begitu bertuah kerana telah disyariatkan untuk menutup aurat. 


Cuba lihat wanita barat yang meluncur di atas ais dengan hanya memakai bikini atau mungkin tanpa berpakaian. Merekalah yang sebenarnya telah didiskriminasikan. 


Menjadi tatapan setiap manusia yang memandang tanpa sekelumit pun perasaan malu. 


Maruah yang perlu dijaga dipertontonkan sewenang-wenangnya tanpa timbul perasaan bersalah. Seolah-olah tidak bernilainya mereka di mata masyarakat.


Sedarkah anda wahai wanita bahawa Islam telah menerangkan dengan jelas kepada kita, siapakah yang selayaknya melihat aurat kita di dalam al-Quran.


"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [Surah An-Nur: 31]

Konklusinya dengan lebih mudah, mahram seorang wanita, yang boleh melihat auratnya ialah lelaki yang haram dikahwininya buat selamanya sama ada kerana keturunan, perkahwinan atau susuan. Ia merangkumi;


Bapa kandung
Bapa mertua
Bapa susuan
Anak kandung
Anak tiri (yakni anak suami)
Anak susuan
Saudara lelaki kandung
Saudara lelaki susuan
Anak saudara lelaki
Bapa saudara


Namun wanita kini, mereka sendiri dengan sesuka hati mendedahkan aurat  dan mahkota mereka tanpa rasa berdosa kepada yang bukan mahram. 


Malah lebih parah lagi, lelaki yang seharusnya menjadi pelindung dan pembimbing kepada kaum wanita membiarkan sahaja isteri, anak, adik, sahabat dan saudara mereka mendedahkan aurat.


Tidakkah kaum lelaki ini merasa tercabar dan cemburu melihat wanita yang di bawah tanggungjawab mereka yang sepatutnya hanya mereka melihat aurat mereka tetapi, sebaliknya lelaki lain juga mendapat HAK yang sama?


Dimana istimewanya lelaki yang bergelar suami berbanding dengan lelaki lain di luar sana yang mendapat HAK yang sama dengannya? 


Apakah mereka merasa biasa dengan situasi itu? 


Sungguh rugi dan dayuslah mereka.


"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Al-Ahzab:59]

Dan tahukah anda lelaki, bahawa ada empat golongan lelaki yang akan ditarik wanita ke neraka kelak andai mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mereka..


01.Ayahnya
Apabila seseorang yg bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji, dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup hanya memberi kemewahan dunia saja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.


02.Suaminya
Apabila sang suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di luar rumah, menghias diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan muhrim. Apabila suami berdiam diri walaupun dia seorang alim, misalnya solat tidak lalai, puasa tidak tinggal, maka dia akan turut ditarik oleh isterinya kelak.


03.Abangnya
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggung jawab menjaga wanita jatuh ke bahu abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya saja, sementara adik perempuannya dibiarkan melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan sang adiknya di akhirat nanti.


04.Anak lelakinya
Apabila seorang anak tidak menasihati ibu perihal tindak-tanduk yang menyimpang dari Islam. Bila ibu membuat kemungkaran mengumpat, membuka aurat, dan lain sebagainya maka anak lelaki itu akan ikut ditanya serta diminta pertangungjawabannya di akhirat kelak.


Jadi bersediakah anda kaum lelaki untuk ditarik ke neraka oleh anak, isteri, adik dan ibu anda?


Oleh itu, laksanakanlah tanggungjawab anda bagi memastikan wanita-wanita ini tidak menarik anda ke neraka tetapi memimpin anda ke Jannah.


Kita pula sebagai kaum wanita seharusnya menjaga martabat kita selaku wanita yang mana sudah jelas Islam memandang tinggi martabat wanita. 


Nah, apalagi yang kita mahu, syurga terbentang sedia, masih neraka yang didamba?


Sungguh rugi dan celakalah jika demikian rupa.





Wallahu'alam.

Jangan Salahkan Cinta

Hati manusia sangat fleksibel, tersentuh, mudah bimbang tatkala takdir tidak sebulu dengan fitrah, tatkala diserang malapetaka di luar dugaan resah bukan kepalang, akal separa waras. 


Bila keinginan diharapkan menemani, datang pula bebanan menghantui. Kenapa, mengapa, apa berlegar, berputar ligat membunuh daya mampu dan mahu. 


Mampu, dalam erti kata berpecak silat menentang badai, dan mahu, berubah.


Berkali-kali kita diingatkan, manusia tidak sirna dari dugaan, sering diduga dan menduga. 


Tabi-'e alam, memang kita memerlukan antara satu sama lain, tiada siapa bisa mendabik dada dia boleh hidup tanpa perlu kepada manusia lain, hatta hartawan sendiri masih memerlukan khidmat orang bawahan, mengaji mengurus dan sebagainya. 


Justeru itu, masalah akan ada di mana-mana tanpa dipinta, cuma kita disarankan agar berhati-hati, sedia, sabar, dan belajar dari masalah tersebut.


Jodoh, adalah hal berkaitan dengan fitrah, mahu tidak mahu setiap daripada kita pasti dipaksa bergelumang meredah mehnah, suka duka, jerih perih sebelum bahagia dalam rumahtangga direalitikan. Manusia tidak selama-lama akan kebal, pasti ada satu saat dia akan tunduk, jatuh.


Oleh kerana itu, Islam mengajar agar kita tidak sombong untuk belajar daripada alam, pengalaman, sirah buat pendinding kalis kecewa, sengsara, dan lara. 


Kita kian tenang dalam damai ketika mencari cinta Ilahi nan abadi.


Kita mesti selalu jadi baik, agar yang baik juga Allah Taala jodohkan untuk kita. 


Cinta yang dicari baik, tetapi cinta yang ditemui lebih baik lagi. 


Keluarga ibarat sebuah negara, suami ialah seorang pemimpin menerajui sebuah kerajaan besar, tidak boleh dipandang enteng. 


Berjaya atau tidak seorang suami itu dilihat berjaya atau tidak anak buah di bawah jagaannya.


Perkahwinan yang sempurna bukanlah sentiasa sempurna, melainkan ketidak-sempurnaan yang ditangani dengan kemahuan pada agama, syari-'at aturan daripada al-Quran dan as-Sunnah. 


Tiada apa yang sempurna dalam dunia ini kerana ini hanyalah dunia. Tidak penting di mana kita bermula, tetapi lebih penting di mana kita akan berakhir.


"Kali ini sudah dua kali peluang saya berikan, tapi abang masih tidak mahu berubah..." rintih seorang isteri bila mana tahu si suami main kayu tiga.


Kadangkala kita terlalu mengharap sesuatu yang ideal sehingga kita terlepas pandang dengan segala kebaikan yang ada pada pasangan di depan mata, hingga kita cuba membandingkan dengan insan lain.


Salah kita juga, dulu bercinta bagaikan hilang waras manusia normal, bibir hanya berbicara kebaikan pasangan sahaja, memuji kecantikan pasangan. Bila dah akad, pasti kebaikan juga diharapkan, namun panas tidak selalu sampai ke petang, bila ada step tersilap, maka mulalah persoalkan ini dan itu.


Cabaran hidup berkeluarga tidak seindah yang diimpikan, khabar tidak seindah rupa. 


Tidak boleh menjadi idealistik. 


Banyak tanggungjawab harus dipikul, banyak keseronokan masa bujang yang terpaksa dikorbankan, karenah anak-anak yang bisa menggugat kesabaran. 


Bila dah berumahtangga suami isteri bukan sahaja berkongsi satu bilik, satu katil, satu almari, tapi juga satu rasa, satu tanggungjawab. 


Bebanan kewangan diatasi, dikoreksi bersama.


Di sini, cinta akan mekar berputik, kekurangan ada di sebelah pasangan dilengkapkanpasangan lain. 


Usia perkahwinan juga akan melalui pra-matang, maka dalam tempoh demikian, terlalu banyak agenda perlu dirangkumkan, apa patut didahulukan, dan mana patut dikemudiankan.


SEBELUM KAHWIN


Berusaha menjadi terbaik untuk mendapat yang terbaik, bukan menilai orang lain baik tapi diri sendiri tiada usaha menjadi baik. 


Maka segalanya dilakukan dengan usaha dan niat yang ikhlas, niat baik akan dipertemukan dengan takdir-Nya yang baik-baik. Kebaikan kita dinilai oleh masa, kalau umur dah berginjak 20-25 tahun, tapi masih bermain PSP, baca majalah mangga, belek komik bersiri, bukankah teramat jauh untuk jadi baik.


Allah Taala berfirman, bermaksud: "...perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat)" (Surah An-Nur, 24:26)


Benar kita boleh berlakon, depan orang cerah perut ibu mengandung, tapi sampai bila,tembelang kalian pasti dapat dihidu, bila dah kahwin semua itu sudah tiada lagi, kembali pada perwatakan sebelumnya.


Kalian berhak memasang cita-cita, memiliki isteri mampu menjaga pakaian dan makan minum, mendamba isteri rajin bertadarrus al-Quran dan bertahajjud malam, isteri rajin dalam kerja-kerja dakwah, mengimpikan isteri melahirkan zuriat soleh dan solehah, menginginkan isteri berkongsi suka dan duka, kalian boleh buat demikian, tapi sanggupkah kalian juga menjadi seperti apa seorang isteri harapkan, menemani di kala tahajjud, menyediakan pakaian dan makan minum, menjadi pemimpin baik buat dirinya dan anak-anak yang soleh dan solehah.
Mereka bertadabbur, dan memahami kalam Allah satu ini;


Allah Taala berfirman, bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan..." (Surah An-Nisaa', 4:34)


Menetapkan niat untuk menjadi lelaki yang baik untuk keluarganya serta hasrat untuk melahirkan generasi baru yang membawa ad-Deen merupakan usaha yang murni. 


Sudah tentu usaha sedemikian memerlukan keteguhan dan kecekalan serta usaha yang berterusan sambil memohon pertolongan Ilahi. Niat yang baik akan menatijahkan hasil yang baik.


Seorang lelaki menyukai perempuan yang mempunyai sedikit sentuhan maskulin manakala perempuan yang akan menjadi isteri juga menyukai lelaki yang mempunyai sentuhan feminin.


Ringkasnya, suami akan suka isteri yang boleh berdikari menyelesaikan beberapa tugasan atau kerja-kerja yang selama ini dilakukan oleh suami, manakala isteri juga menyukai suaminya sekali sekala buat kerja rumah dan memasak untuk keluarga. 


Ada kalanya suami memerlukan isteri membantunya dalam menyelesaikan kerja-kerja yang selama ini suami yang lakukan, adakalanya si isteri memerlukan suami untuk ringan tulang dalam hal berkaitan house-chores.


Tiadalah itu satu harapan yang melangit, melainkan rasa ingin merealisasikan sesuatu yang sudah berkurangan dalam kehidupan insan hari ini. 


Rasulullah s.a.w dalam kesibukannya berdakwah dan menjadi penghulu ummat juga mampu memenuhi hak-hak keluarganya, dan membina satu keluarga Islami yang bahagia, maka kita juga berusaha untuk menjadi seperti baginda.


Saya tidak setuju kalian bercinta sebelum kahwin. Cinta tidak salah, tapi masalah besar adalah orang bercinta, salah meletakkan harga sebuah cinta. Kalau sudah rasa tidak mampu, maka jauhilah maksiat cinta.


Kebanyakan orang bercinta terbawa-bawa dengan khayalan cinta sehingga bersikap terlalu romantik. 


Bila berbual, banyak control macho sehingga tidak berani bercakap jujur dalam hal-hal tertentu. 


Bila bercakap, banyak tipu dari memberitahu perkara yang sebenar. 


Bila merancang, banyak manis dari yang pahit. 


Bila berjanji banyak hipokrit dari realistik. Ini lumrah orang bercinta. 


Kerana itu, elakkan mengenali pasangan terlalu intim sebelum berkahwin. 


Dibimbangi, kalian terkejut selepas berkahwin.


Sanggupkah kalian bercinta?........

Hak seorang anak

'Hak', hanya tiga huruf namun memberi makna yang sangat besar.


Jika salah percaturan, kita akan disoal di akhirat kelak berkaitan soal hak ini.


Hak ini bukan sahaja diharuskan malahan wajib dilaksanakan oleh setiap ibu bapa.


Mungkin ramai yang sudah tahu, tapi apa salahnya kalau kita ambil tahu sekali lagi.


Saya percaya kita semua bakal menjadi ibu dan bapa suatu hari nanti.


Jadi sedikit sebanyak kita kenalah tahu berkenaan hak anak.


Saya mohon untuk tidak persoalkan apa yang telah ibu dan bapa kita lakukan (mungkin tidak menepati apa yang kita mahu, jika kita ada alternatif lain untuk menjadi lebih baik, ikutlah yang baik itu) jadi kita praktikkan kepada bakal anak-anak kita. insyaallah..


Sabda Rasulullah saw :
" Di antara tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya ada tiga iaitu pertama memberikan nama yang baik , kedua, mengajarkan tulisan (ilmu dan adab ) dan ketiga mengahwinkan apabila telah baligh".

01. Berikan nama yang baik kepada anak-anak. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh seorang pengkaji Jepun (Dr. Masaru Emoto) telah melakukan ujikaji terhadap molekul-molekul air.


Apabila didekatkan kalimah-kalimah yang baik kepada molekul-molekul air tersebut maka molekul-molekul yang terhasil adalah sangat cantik manakala apabila didekatkan molekul-molekul air dengan kata-kata yang tidak elok atau kata-kata kesat maka molekul-molekul air tadi berubah menjadi sangat buruk dan hodoh.


Ini menunjukkan bahawa tindak balas molekul air terhadap kalimah-kalimah yang baik adalah positif dan sebaliknya.


Badan kita kita juga terdiri daripada 70% air (darah).
Secara logiknya apabila kita memberi nama yang baik kepada anak-anak diambah pula dengan asuhan yang yang mengikut acuan Islam maka insyaAllah, anak-anak yang didik akan menjadi pejuang di jalan ALLAH.  


02. Adalah tanggungjawab ibu bapa untuk mengajarkan ilmu dan adab kepada anak-anak. Ilmu, maksudnya di sini ibu bapa memberi pendidikan kepada anak-anak (fardu ain dan fardu kifayah).


Sekarang ni pun, kerajaan telah menetapkan supaya setiap anak yang berusia 7 tahun di hantar ke sekolah rendah.


Bagi ibu bapa yang ingkar boleh dikenakan hukuman penjara atau denda sehingga RM 5000 (Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar pada ketika itu tahun 2006).


Bukan sikit denda yang dikenakan, nilainya boleh buat bayaran permulaan untuk membeli kereta.


Adab pula merujuk kepada perbuatan yang baik berhubung dengan percakapan, perbuatan mahupun amalan.


Adab juga boleh diertikan sebagai akhlak mulia atau baik. Akhlak yang baik adalah bukti kukuh keluarga yang mulia.


 Sabda Rasullullah:
 "Sesungguhnya seseorang kamu yang mengajar adab kepada anaknya adalah lebih baik baginya daripada beliau bersedekah setengah gantang setiap hari." 

03. Mengahwinkan anak apabila telah baligh. Bila ibu bapa mendapat si anak sudah cukup syarat untuk bergelar isteri atau suami maka si ibu dan bapa bolehlah mengahwinkan anak mereka dengan pasangan yang sekufu yang dinilai dari 4 perkara iaitu agamanya, keturunannya, rupanya dan hartanya. 


Baru-baru ni dalam perbualan telefon dengan seorang sahabat. Biasalah di kala usia sudah melangkah ke alam awal dewasa persoalan nikah kahwin ini tidak lari dari topik perbualan.


Kata beliau, 4 perkara yang menjadi penetuan pemilihan jodoh adalah rupa, harta, keturunan dan agama. Dalam zaman serba canggih dan dunia tanpa sempadan hari ini.


Rupa, yang kurang cantik boleh menjadi cantik. Yang kurang handsome boleh menjadi handsome kerana begitu banyak produk kecantikan yang dijual di pasaran.


Harta, harta boleh dicari dengan kepesatan teknologi dan ilmu. 


Banyak perniagaan yang boleh diceburi jika mahu apatah lagi kini banyak peluang-peluang perniagaan yang muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Tambahan pula 9/10 pintu rezeki adalah daripada berniaga.


Keturunan, keturunan atau nasab yang ada pada hari ini sudah banyak yang bercampur-baur.


Yang berketurunan Syed mahupun Sharifah juga sudah banyak yang berkahwin dengan orang biasa, yang kerabat diraja juga dah banyak yang berkahwin dengan rakyat jelata.


Agama, jadi yang tinggal hanyalah AGAMA yang menjadi kayu ukur dalam pemilihan pasangan. 
Oleh itu, ibu dan bapa wajib mengahwinkan anak mereka dengan pasangan yang tepat.


Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya:
"Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan anaknya."

Rasulullah saw bersabda lagi:
"Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu redha terhadapnya agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi."


Hadis ini lebih merujuk kepada anak gadis, namun kepada si lelaki janganlah kamu menjadi lelaki yang fasik itu.


Namun kita sebagai seorang anak pasti ini yang kita mahukan.


Wahai ayah dan ibuku,
Berikan daku makanan daripada sumber yang halal.
Sihatkan dan suburkan tubuhku dengan beridah bersama
Hindari daku daripada segala bahaya terutama azab neraka
Awasi kecenderunganku agar selari dengan syariat
Pastikan ilmu fardhu ain daku sempurna
Dorongilah daku agar memiliki akhlak yang terpuji
Nasihatilah daku dalam menjauhi sifat yang keji
Tanamkan rasa bertuhan dan kehambaan di dalam hatiku
Suburkan kecintaanku kepada Allah
Didiklah daku dengan sunnah Rasullullah
Bimbinglah daku dengan ajaran Islam yang lengkap dan sempurna
Latih dan Jadikan daku Pejuang Kebenaran
Ingatkan daku peranan sebagai khalifah Allah SWT di dunia
Doakan daku semoga menjadi anak yang soleh dan solehah.
Doakan semoga kita akhirnya berjumpa lagi di Syurga Allah.

Semoga memberi manfaat...sekian massalamah

Salahkah wanita tak tahu memasak?

Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja.


Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati.


"Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!" Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan sejawat kami.


Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja.


Setelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.


''Habis sekarang kenapa tidak belajar?" 


Tanya sang lelaki lagi dengan penuh semangat.


''Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!" 


Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala.


Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak. Wanita sepatutnya buat begitu juga.


Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam.


Walau ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup.


Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai.


Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya.


Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami.


Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam.


Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih perlu.


Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal.


Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. 


Begitulah standard yang telah ditetapkan.


Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada lelaki juga? 


Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah.


Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga.


"Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?"


 Dengus teman wanita yang lain.


Betul juga ya? 


Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya?


Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.


Ternyata ramai yang menjawab tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal.


Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri.


Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam.


Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami.


Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa 'queen control'.


Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. 


Jika wanita disuruh belajar, apa salahnya lelaki!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...